Selepas tiba di Padang Kota Lama (Esplanade) di sini, pengembara anak beranak cuma tinggal 400km lagi sebelum tiba di Perlis menjelang Hari Malaysia dengan berjalan kaki sambil membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak.

Ini kali kelima pengembara kelahiran Perak, R. Ragu, 43, melakukan pengembaraan itu dan bercadang menjadikannya sebagai acara tradisi setiap tahun sempena Hari Malaysia.

Beliau ditemani oleh anak lelakinya, R. Surya, 13, pelajar SMK St. Michael. Surya telah menemani bapanya dalam pengembaraan sejak 2013 tetapi hanya mampu menamatkan pengembaraan berjalan kaki hanya sejauh 20 km. Tahun ini, dia menemani bapanya sepanjang pengembaraan.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata beliau mendapat suntikan semangat dan inspirasi daripada anak perempuannya yang pertama kali melakukan pengembaraan berjalan kaki bagi membangkitkan semangat patriotisme.

Ragu berharap agar Hari Malaysia disambut untuk tempoh yang lebih lama dan bukan sekadar satu hari sahaja.

"Jika perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas boleh disambut selama sebulan, mengapa tidak Hari Malaysia? Rakyat telah mengorbankan nyawa mereka demi kemerdekaan dan saya percaya setiap rakyat Malaysia harus menghargai pengorbanan itu," kata beliau kepada pemberita pada Selasa.

Dua beranak ini meneruskan tradisi mencabar diri untuk berjalan kaki sejauh 1,400 kilometer dari Johor ke Perlis menerusi Ekspedisi Merdeka 'Sayangi Malaysiaku' sempena menyambut Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. - BERNAMA
Beliau juga mengalu-alukan orang ramai, terutama anak muda, yang ingin menyertai beliau dalam pengembaraan berjalan kaki pada masa depan tetapi mereka perlu menjalani latihan fizikal dan mental dahulu.

Ketika ditanya mengenai pengalamannya sepanjang pengembaraan tersebut, Ragu berkata sepanjang pengembaraan , mereka mengharungi pelbagai cabaran terutama apabila menyeberangi sempadan negeri Perak.

Ragu berkata pernah, pemandu melemparkan sampah kepada mereka dari kenderaan dan menggelar mereka "bodoh" dan "gila". Tetapi ada juga penduduk yang baik hati yang mempelawa mereka ke rumah mereka untuk menjamu selera dan diundang ke majlis kenduri perkahwinan.

Tetapi pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila mereka diiringi oleh anggota Penang Mountain Bike Association (PMA) di Esplanade kerana mereka bukan sahaja menerima banyak sumbangan dari orang ramai tetapi menerima sorakan ketika kumpulan penyanyi buskers mempersembahkan lagu kebangsaan.

"Kami tidak mempunyai penaja tahun ini bagi pengembaraan kami dan walaupun jumlah perbelanjaan kami ialah RM21, 000, tetapi apa yang berlaku malam tadi memberi sokongan moral kepada kami. Hanya beberapa hari lalu, anak lelaki saya diejek oleh pemandu dan hampir patah semangat hingga saya terpaksa mententeramkannya sepanjang perjalanan.

"Tetapi pada malam Isnin (di Esplanade), dia tidak dapat melelapkan matanya sehingga jam 1 pagi sambil memberitahu bahawa Pulau Pinang adalah yang terbaik sambil menitiskan air mata tanda kegembiraan," katanya.

Acara pada malam Isnin itu disiarkan secara langsung di laman Facebook PMA dan ditonton oleh 3,000 netizen dalam masa 12 jam.

-- BERNAMA