Seorang ahli jawatankuasa masjid rebah sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika mempengerusikan mesyuarat agung siang tadi.

Dalam kejadian di Masjid Darul Naim, Kampung Lintang, di sini, Haji Wan Sulaiman alias Bujang Tuanku Haji Fauzi, 74, rebah selepas selesai menyampaikan kata aluan pengerusi.

Menurut saksi, sejurus rebah, Allahyarham diberi rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Pusat Rawatan Pakar Normah sekitar tiga kilometer dari lokasi mesyuarat.

Arwah bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11.15 pagi.

Wan Sulaiman merupakan bapa saudara kepada Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek yang juga Adun Samariang, Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali.

Jenazah Allahyarham diuruskan di kediamannya di Jalan Merdeka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, petang tadi.