Tindakan bagi memastikan pengharaman penjualan atau pengedaran vape berbentuk pen dan jam tangan kepada pelajar sekolah merupakan inisiatif yang harus diambil seluruh rakyat Malaysia.

Menurut Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, usaha dalam memastikan larangan penjualan vape ini bukan sahaja perlu dilakukan oleh pihak kerajaan tetapi ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Keseluruhan warganegara mesti mengambil inisiatif yang lebih daripada yang kerajaan lakukan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Dr Mohd Ali mengulaskan mengenai kerjasama di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyekat pengunaan peranti vape secara besar-besaran dalam kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihak kerajaan telah mengadakan sesi dialog dengan pihak industri vape berhubung larangan penjualan peranti vape dalam kalangan pelajar sekolah.

“Antara langkah yang diambil oleh industri adalah jam tangan itu telah dikeluarkan daripada pasaran sekarang, kalau ada orang nak beli dia kata 'out of stock' (kehabisan stok) bukan kerana permintaan terlalu tinggi, tetapi disebabkan pengilang telah diarahkan berhenti secara sukarela,” katanya dalam satu sidang media pada Sabtu.

Sehubungan itu, Dr Mohd Ali menegaskan bahawa selain daripada pihak kerajaan memainkan peranan tersendiri, pihak sekolah dan ibu bapa juga perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Mungkin ibu bapa dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat membantu buat 'spot-check' kepada perkara ini.

“Misalnya di tempat sekolah perlu ada satu kempen kesedaran dan juga ceramah khas yang menunjukkan kesan yang tidak baik tentang penggunaan vape ini,” katanya lagi.

Oleh itu, beliau juga berharap agar langkah-langkah berterusan mesti dilakukan di setiap sekolah ataupun di premis sekolah kerana permulaan penggunaan vape ini dipercayai ada kaitan dengan kegiatan merokok dan dadah.