Penghasilan vaksin COVID-19 perlu menjadi fokus utama negara anggota ASEAN dan Amerima Syarikat (AS) dalam menghadapi pandemik tersebut, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau juga yakin dengan kerjasama antara ASEAN dan AS, pandemik itu dapat ditangani secara bersama.

“Generasi kita tidak pernah menghadapi sesuatu dalam skala ini. Jadi kita perlu bersama memastikan kita menggabungkan kekuatan kolektif untuk menghentikan pandemik ini, selain menyekat impaknya kepada masyarakat.

“Tindakan segera daripada kita untuk menyelamatkan nyawa amat memuncak ketika ini dan kerjasama merupakan kunci utama,” katanya sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS pada Khamis.

Pada mesyuarat bersama itu, Hishammuddin turut menggariskan lima keutamaan lain seperti penjagaan kesihatan, ekonomi, keselamatan makanan, pendidikan dan sistem sosial. - Foto Wisma Putra

Mesyuarat sidang video secara dalam talian itu dihadiri oleh kesemua Menteri Luar negara anggota ASEAN dan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo.

Tambah Hishammuddin, penghasilan penawar atau vaksin adalah satu-satunya cara untuk menang menentang COVID-19, sekali gus membolehkan rakyat meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

“Sebagai pemimpin, kita perlu berani dan ikhlas dalam usaha untuk bekerjasama bagi manfaat rakyat.

“Saya berpandangan, Setiausaha Pompeo telah meluangkan masanya bagi sidang video hari ini walaupun beliau berdepan krisis di AS, sekali gus mengukuhkan blok serantau kita untuk menyelesaikan masalah ini bersama,” ujarnya.

Pada mesyuarat itu, Hishammuddin turut menggariskan lima keutamaan lain seperti penjagaan kesihatan, ekonomi, keselamatan makanan, pendidikan dan sistem sosial.