Tumbangnya sebatang pokok Hujan-Hujan atau nama saintifiknya Samanea Saman di Raintree Walk, Jalan Pekeliling di Taman Tasik Taiping di sini Sabtu lepas ternyata memberi kesan kepada orang ramai.

Sesiapa sahaja yang datang ke tasik itu, pastinya tidak akan melepaskan peluang bergambar di bawah pokok besar berusia lebih 130 tahun yang mempunyai dahan rendang.

Selepas ia tumbang pada 13 Okt lalu, ramai yang meluahkan rasa sedih serta tidak ketinggalan ada yang terus memuat naik gambar kenangan bersama pokok tersebut di akaun media sosial masing-masing.


Bagi Salasiah Hamid, 35, berkata pokok Hujan-Hujan menjadi daya tarikan pelancong berkunjung ke bandar Taiping dan berjalan di bawah rimbunan dahan pokok itu memberikan ketenangan.

"Saya sentiasa melakukan riadah di kawasan ini kerana keadaan yang aman dan tenang pada setiap hari," katanya kepada Bernama.

Tan Kok Peng, 55, pula berkata beliau sentiasa menjadikan kawasan Taman Tasik Taiping untuk berehat sambil menikmati udara yang segar dan berharap Majlis Perbandaran Taiping (MPT) terus memulihara pokok itu kerana ia tidak terdapat di mana-mana.



"Saya harap MPT sentiasa membuat pemeriksaan bagi mengelak kejadian pokok lain tumbang kerana ia boleh menjejaskan imej Taman Tasik Taiping kepada pelancong yang berkunjung ke sini.

Pemilik akaun Twitter dengan nama sigajahcomel memuat naik status : "takde seri dah Taman tasik Taiping tu tempat playground aku dulu".

Encik Pacat pula menulis : "Pohon yang memberi 1,001 kenangan. Terima kasih kerana memayungi Taman Tasik Taiping selama ini".

Sementara itu, Yang Dipertua MPT Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata akar pokok yang patah dipercayai menjadi punca pokok itu tumbang.

"Pemeriksaan yang dibuat syarikat SH Eco Landscape yang dilantik MPT mendapati akar pokok itu patah mungkin berpunca daripada beban pokok yang tidak stabil.


"Akar pokok akan dirawat dan tanah di sekitar pokok yang tumbang akan diganti dengan medium tanah yang sesuai," katanya sambil menambah terdapat 37 batang pokok Hujan-Hujan di sepanjang Raintree Walk dipercayai berusia lebih 130 tahun.

BERNAMA