Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan emas yang dipercayai menggunakan pengaruh kerabat diraja untuk tujuan promosi susulan penahanan enam individu 26 Januari lalu.

Antara yang ditahan adalah pengarah syarikat dan penganjur dalam skim terbabit, masing-masing bergelar Datuk Seri yang juga kerabat diraja dan tiga lelaki berpangkat Datuk dalam siri operasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata suspek berusia 42 hingga 62 tahun itu ditahan selepas polis menerima 193 laporan membabitkan kerugian RM27.5 juta di seluruh negara sejak Oktober 2015 hingga Disember lalu.

“Bagi menyakinkan pelabur, sindiket ini menggunakan beberapa kaedah baru dengan mengadakan seminar didalam hotel yang turut melibatkan kerabat diraja.

“Suspek turut mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja serta orang kenamaan bagi menambah keyakinan pelabur terhadap skim ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas lapan kenderaan mewah milik suspek, lapan telefon bimbit, tiga kad ATM, empat kepingan emas, tiga jam tangan berjenama, lima buku cek dan wang tunai RM200,000.

Amar Singh berkata, sindiket menawarkan dua pelaburan utama iaitu jual beli jongkong emas dan minyak dengan pulangan lumayan bagi tempoh sembilan bulan.

Bagi bagi skim pelaburan jongkong emas, pelabur dijanjikan pulangan lumayan dua peratus sebulan manakala pelaburan minyak sebanyak 15 peratus setiap bulan bagi tempoh sembilan bulan.

Semua suspek ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013.