Polis menyangkal dakwaan oleh pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo, bahawa dia dipaksa membuat pengakuan terbuka bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang yang baik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata polis tidak pernah meminta Justo berbuat demikian, dan tidak ada pun dalam kenyataan Justo, yang dalam simpanan polis, menunjukkan bahawa Justo bercakap seperti apa yang didakwanya.

"Jelas sekali, dapat dilihat bahawa soalan itu yang dikatakan ditanya oleh kami tiada kaitan sama sekali dengan siasatan, justeru, adalah bodoh bagi kami untuk bertanyakan soalan seperti itu.

"Sama ada Justo 'adalah orang yang jahat, sukakan wang dan Tarek (Tarek Obaid, pengasas bersama dan CEO PetroSaudi International) dan PetroSaudi adalah baik' dan 'soalan tentang Najib sebagai PM terbaik' tidak mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat. Tahap profesionalisme Polis Diraja Malaysia lebih daripada itu," katanya.

Amar Singh berkata siasatan polis tertumpu kepada dakwaan kecurian data yang mempunyai hubungan dengan PetroSaudi atau 1MDB dan percubaan selepas itu untuk menjual, memeras ugut kepada atau daripada pihak ketiga, dengan niat untuk menjejaskan keselamatan negara.

"(Siasatan) bukanlah berkenaan karakter anda atau siapakah perdana menteri yang terbaik. Jadi Justo... jangan berbohong," kata Amar Singh menerusi kenyataan sebagai respons kepada dakwaan Justo yang disiarkan akhbar tempatan bertajuk 'Justo: Malaysian cops forced me to say 'Najib was the best PM (Prime Minister)' yang disiarkan sebuah akhbar tempatan pada 31 Okt.

Amar Singh, yang ketika itu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Undang-undang dan Siasatan), berkata pada masa itu, tumpuan siasatan polis terarah kepada jualan atau peras ugut wang yang nyata bagi pihak ketiga dengan niat untuk menjejaskan keselamatan negara.

Beliau berkata pada 15 Dis 2015, beliau mengetuai pasukan yang turut dianggotai dua lagi pegawai pergi ke Penjara Reman Bangkok, Thailand, bagi tujuan mendapatkan kenyataan daripada Justo, menerusi bantuan perundangan bersama, dalam kes jenayah.

"Sejumlah 57 soalan diajukan kepada Justo yang memberi tumpuan kepada isu seperti PetroSaudi; Clare Rewcastle Brown (wartawan penyiasatan Britain) dan soalan umum berkisar tentang keselamatan negara.

"Kenyataan itu dirakamkan oleh pihak berkuasa Thai dengan bantuan seorang penterjemah bahasa Inggeris dan kami hadir sebagai saksi," jelas beliau.

Pada 22 Jun 2015, Justo ditahan di rumahnya di pulau Koh Samui, Thailand, selepas pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa Justo cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) berhubung dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

Pada Disember 2016, Justo adalah antara beribu-ribu banduan warga asing yang diperkenankan pengampunan diraja oleh Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun.

-- BERNAMA