Penjawat awam dibenar berpolitik, tetapi mereka sama sekali tidak boleh bergiat aktif dengan menjadi pemimpin dalam parti, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas beliau, golongan itu perlu bijak mengelakkan diri daripada dipengaruhi keahlian dalam parti politik, terutamanya sewaktu menjalankan tugas-tugas rasmi dalam kerajaan.

“Mereka (penjawat awam) perlu akur dengan segala arahan dan keputusan yang dibuat kerajaan pilihan raya,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka sempena lawatan kerja beliau ke Bandar Bersejarah itu.

Terdahulu, sewaktu berucap di Majlis Ucaptama Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Melaka, Dr Mahathir berkata penjawat awam harus terus memastikan perkara yang menjadi keutamaan, iaitu memastikan penyampaian dan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

Atas sebab itu, Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya untuk penjawat awam menjadi golongan berkecuali dan mengelakkan diri daripada ikatan terlalu kuat dengan parti politik di belakang kerajaan memerintah.

Sementara itu, dalam ucapannya, perdana menteri memuji kerajaan negeri pimpinan Adly Hamzah kerana berjaya mencapai hampir 60 peratus janji yang dibuat PH negeri sewaktu kempen pilihan raya umum yang lepas.

Dr Mahathir berkata kejayaan menyiapkan rumah contoh dalam masa 27 hari bagi program itu menunjukkan iltizam dan komitmen PH untuk menyediakan 1 juta rumah mampu milik, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dalam tempoh 10 tahun.

“Saya yakin bahawa apabila kita dapat dirikan bangunan (perumahan selesa) untuk rakyat, maka rakyat bukan saja hidup selesa, tapi dapat memiliki tenaga untuk menyumbang pada kekayaan negara," kata Dr Mahathir lagi.