Kerajaan negeri Perak akan meminda dasar perumahan dengan menetapkan harga rumah mampu milik tidak melebihi RM220,000, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim.

Beliau berkata pada masa sama pindaan itu jika diluluskan akan mewajibkan pembinaan rumah kos rendah bagi setiap projek yang dibangunkan di kawasan melebihi dua hektar.

"Ketika ini pindaan itu sedang diteliti oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri bergantung kepada kawasan tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Townhall' dan Bandar Selamat sempena program Pemukiman Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Rusnah berkata pindaan dasar berkenaan dibuat selari dengan dengan penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri bulan lepas.

"Saya telah berjumpa dengan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengenai projek rumah mampu milik mereka yang berharga RM300,000," katanya.

Rusnah berkata pihak kerajaan negeri sedia untuk mempertimbang kadar premium yang rendah selain mengurangkan kos kebenaran merancang untuk membolehkan SPNB dan PR1MA membina rumah mampu milik pada harga RM200,000.

Ditanya mengenai projek 100 unit rumah PR1MA di Parit Haji Wahab, Rusnah berkata temuduga kepada pembeli akan dibuat tidak lama lagi dan setakat ini sebanyak 3,000 permohonan telah diterima.

Mengenai program hari ini, Rusnah berkata program 'Townhall' dan bandar selamat telah dimulakan di Majlis Bandaraya Ipoh dan kini diperluas ke Majlis Daerah Kerian.

"Program ini akan dilaksanakan di semua Pihak Berkuasa Tempatan di Perak dan dijalankan dalam tempoh tiga bulan sekali," katanya.