Seramai 60 saksi akan dipanggil untuk perbicaraan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang dijadualkan bermula 27 Mac tahun hadapan.

Pada prosiding pengurusan kes berkenaan hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Hadhariah Syed Ismail ‎memaklumkan pihak pendakwaan dijangka akan memanggil 60 saksi sepanjang lima bulan perbicaraan berlangsung.

Tarikh berkenaan ditetapkan pada, 27 Mac hingga 31 Mac 2017; 10 April hingga 14 April 2017; 24 April hingga 28 April 2017; 15 Mei hingga 19 Mei 2017; 29 Mei hingga 2 Jun 2017; 13 Jun hingga 16 Jun 2017 dan 17 Julai hingga 21 Julai 2017

Hadariah berkata, kesemua tarikh itu telah dipersetujui kedua-dua belah pihak dan pihak pendakwaan.

Selain itu, Hadhariah juga mengarahkan pihak pendakwaan melengkapkan dokumen yang dipersetujui kedua dua belah pihak dan perlu diserahkan kepada mahkamah pada 6 Januari tahun depan. .

Dokumen itu perlu disiapkan segera bagi memastikan kes tersebut berjalan dengan cepat .

Prosiding hari ini tidak memerlukan kehadiran Guan Eng dan Phang Li Koon dan hanya diwakili barisan peguamnya.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwaraya Masri Mohd Daud, manakala Guan Eng di wakili peguam Gobind Singh Deo, manakala Phang Li Koon diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 30 Jun lepas, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan perlingkungan semula daripada zon pertanian kepada zon perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di bilik gerakan, tingkat 28, bangunan Komtar di George Town pada 18 julai, 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga 2.8 juta.

Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Guan Eng mengetahui Phang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.