Kerajaan memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap semua pasangan dan ahli keluarga rakyat Malaysia yang berstatus Permastautin Tetap dan pemegang pas lawatan sosial jangka panjang jika enggan membayar kos kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan yang akan diambil termasuk membatalkan kemudahan imigresen yang dinikmati mereka sebelum ini.

Tegas beliau, kerajaan turut meminta agar Pejabat Peguam Negara meneliti perkara tersebut untuk pelaksanaan tindakan undang-undang terhadap mereka yang berdegil.

"Sehingga kini, kerajaan menanggung kos kuarantin wajib bagi warganegara Malaysia sahaja.

"Bagi pasangan dan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang berstatus Permastautin Tetap dan pemegang pas lawatan sosial jangka panjang yang dikuarantin wajib, kos kuarantin perlu ditanggung sendiri.

"Jika mereka enggan membayar kos tersebut, segala keistimewaan yang diberikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan ditarik balik sehingga mereka membayar kos tertunggak dan (penginapan) hotel dalam tempoh kuarantin ini.

"Sebagai contoh, keistimewaan yang boleh ditarik balik adalah seperti proses memperbaharui permit yang sebelum ini dilakukan dua tahun sekali, mungkin selepas ini mereka perlu lakukan dalam tempoh tiga bulan sekali," katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 231 pusat kuarantin telah beroperasi pada Rabu berbanding 229 pada hari sebelumnya dengan jumlah indidvidu yang menjalani proses kuarantin wajib ialah seramai 14,496 orang.

"Semalam, seramai 416 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

"Seramai 33,807 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

"Sehingga hari ini, seramai 26,121 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," jelasnya.