Sebanyak 2,165 kilogram daun ketum dengan nilai rampasan RM64,950 berjaya dirampas!

Itu kejayaan pasukan Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi lima siri rampasan daun ketum di sempadan negara Malaysia-Thailand dalam tempoh dua hari.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA, Supritendan Abdul Aziz Abdullah, dua rampasan dilakukan pada Ahad di Kawasan Kebun Pisang Jalan Keselamatan PB 19 dan BKC 7 Padang Besar, Perlis.

Katanya, kedua-dua rampasan itu dilakukan anggotanya sewaktu melakukan rondaan di kawasan terbabit.

Sebanyak 275 kilogram daun ketum itu ditemui di tinggalkan di kawasan semak sepanjang jalan sempadan.

  Foto: PGA

Jelas Abdul Aziz, pada Isnin, tiga lagi tangkapan berjaya dilakukan pihaknya di mana 1,890 kilogram daun ketum berjaya ditemui diletakkan di dua buah rumah kosong.

Pihaknya percaya, dua buah rumah kosong itu dijadikan setor simpanan dan tempat pembungkusan daun ketum sebelum di hantar ke Thailand.

Dua serbuan itu dilakukan di Kampung Syed Abi, Kok Mak dan Kampung Batu 20, Padang Besar.

Tangkapan terakhir dilakukan di Pos PB 19, dengan penemuan daun ketum yang diletakkan di kawasan semak sebelum anggota sindiket datang untuk mengambilnya seterusnya dibawa masuk ke Thailand.

Kesemua daun ketum itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.