Ibu bapa tidak seharusnya mengambil peluang menyertai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mencari peluang membuat untung, kata Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul Datuk Halimah Mohamad Said.

Jelas beliau PIBG ditubuhkan untuk kepentingan murid-murid dan penting bagi memastikan badan itu sentiasa cekap dan berkesan.

Tambah beliau, fungsi serta struktur PIBG harus diperjelaskan semula bagi mempertingkatkan komunikasi antara semua pihak berkepentingan.

“Sebagai permulaan guru besar dan guru kaunselor harus menjalani latihan semula untuk memperbaiki kemahiran manusiawi terutamanya dalam menguruskan ibu bapa serta pelajar yang bermasalah,” katanya menerusi artikel beliau yang diterbitkan Astro AWANI, baru-baru ini.

Halimah turut berharap PIBG dapat berperanan untuk menyediakan bengkel dan latihan bersesuaian kepada ibu bapa untuk melengkapkan pengetahuan terhadap aspek perkembangan anak-anak.

Katanya, pemerkasaan semula PIBG penting bagi dalam menjayakan aspirasi Kementerian Pendidikan yang diumumkan menterinya Dr. Maszlee Malik baru-baru ini.

Dr. Maszlee menerusi amanat kepada warga kementeriannya baru-baru mahu kasih sayang, keseronokan dan hormat menghormati menjadi tiga teras utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Bagi Halimah, perkara berkenaan hanya boleh dicapai sekiranya ibu bapa dapat membantu mewujudkan elemen kasih sayang, keseronokan dan hormat menghormati di rumah juga.