Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berhubung dakwaan kesukaran pinjaman perumahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata isu pinjaman rumah adalah di bawah seliaan Kementerian Kewangan, namun KPKT telah memajukan permasalahan tersebut yang didapati berpunca daripada kerenah birokrasi.

“Isu pinjaman perumahan membabitkan Kementerian Kewangan, kita (KPKT) ada bawa isu ini sebab masalah pinjaman berpunca daripada birokrasi undang-undang bank, jadi kita cuba menyoroti masalah berkenaan.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita tidak akan menjejaskan pihak bank. Pastinya akan ada satu mekanisme atau jalan keluar yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah.

Lagipun KPKT sudah adakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai masalah pinjaman perumahan ini,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan di Rumah Transit 1 Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata beliau akan meneliti mengenai langkah KPKT memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju perumahan untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran memperoleh pinjaman bank.

“Saya tidak tahu isunya, sebab saya belum ke bahagian itu.

“Cuma diberi taklimat, saya baru diberi gambaran umum saja. Nanti minggu depan saya akan pergi ke jabatan-jabatan nanti bila saya diberi taklimat penuh baru saya boleh komen berkenaan ini,” katanya.