Usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) terus dipergiatkan dengan 61 sekatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Op Benteng di seluruh negara, sehingga Khamis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa turut membuat pemeriksaan sebanyak 28,430 kenderaan terutama di lorong-lorong tikus.

Dalam operasi bersepadu itu, ujarnya PDRM turut berjaya menahan empat warga asing dalam sekatan jalan raya atas kesalahan imigresen pada Khamis.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

"Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya lorong-lorong tikus," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, sehingga semalam seramai 1,517 PATI telah ditahan di bawah operasi bersepadu itu atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membuat saringan COVID-19 terhadap PATI yang ditahan dan mereka yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS, Serdang untuk rawatan.

"Jumlah kumulatif pesakit yang menerima rawatan di MAEPS adalah seramai 813 individu. Daripada jumlah ini, seramai 430 PATI telah dibenarkan discaj dan akan dihantar pulang ke negara asal," ujarnya lagi.