SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 132 pendatang tanpa izin dalam operasi di sebuah perkampungan haram di kawasan ladang kelapa sawit di Setia Alam, dekat sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata operasi bermula 2.38 pagi itu menahan warga Indonesia yang terdiri daripada 76 lelaki, 41 wanita serta 13 kanak-kanak dan bayi berusia sembilan bulan, selain dua lelaki warga Bangladesh.

Beliau berkata hasil risikan dan aduan yang diterima pihaknya mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak empat tahun lepas dengan dilengkapi bekalan elektrik.

"Warga asing ini dipercayai menyewa kawasan berkenaan daripada warga tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka. 'Ketua Kampung' di sini mendakwa mereka berkongsi membayar kira-kira RM6,000 sebulan untuk sewaan tanah seluas 0.6 hektar itu.

"Di kawasan penempatan haram ini turut menempatkan kedai runcit, warung dan surau. Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran dan buruh binaan di kawasan sekitar," katanya selepas operasi berkenaan.

Sebahagian daripada 132 pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi Imigresen di kawasan ladang kelapa sawit di Setia Alam pagi tadi. --fotoBERNAMA

Beliau berkata berdasarkan semakan pihaknya, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi masa.

"Semasa operasi dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang memanjat atap, menyorok di bawah kolong rumah dan mengunci diri (dalam rumah) supaya tidak ditahan pihak berkuasa," katanya menambah operasi itu mengambil masa selama hampir tiga jam.

Anggota JIM mengumpil rantai besi untuk membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah ketika operasi yang dijalankan di kawasan ladang kelapa sawit di Setia Alam pagi tadi. --fotoBERNAMA

Jafri berkata operasi itu melibatkan 220 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya JIM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara manakala kesemua pendatang tanpa izin berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Ditanya tentang tindakan yang akan dikenakan terhadap pemilik tanah berkenaan, beliau berkata semakan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63.

Jafri turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi mana-mana pendatang tanpa izin.

-- BERNAMA