Sebanyak 33,864 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di seluruh negara menikmati durian runtuh apabila kerajaan mengumumkan bayaran dividen berjumlah berjumlah RM106.81 juta kepada golongan itu bagi tahun ini.

Jumlah tersebut merangkumi 16,080 peserta Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB) sebanyak RM38.16 juta dan 17,784 peserta Tanam Semula Komersial (TSK) sebanyak RM68.64 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan tidak pernah berhenti daripada mencari jalan untuk menjaga kebajikan rakyat khususnya yang tinggal di luar bandar termasuk pekebun kecil.

Tambahnya, agenda luar bandar mesti diteruskan kerana beliau mahu pembangunan negara yang saksama dan adil meliputi semua kawasan, etnik dan peringkat usia.

“Kita dapat melihat bagaimana pembangunan itu dapat diagihkan ke setiap ceruk dalam negara kita. Sedikit sebanyak soal mengimbangi pembangunan untuk menentukan kesakmaan itu telah dapat dicapai, tapi sekurang-kurangnya tidaklah terlalu jauh,” ujar Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyampaian Dividen Risda 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, Pahang.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Sumbangan Sosial Risda (SSR) sebanyak RM10,000 kepada lima buah masjid di Pahang.