Polis hari ini menafikan laporan bahawa ibu Siti Soffea Emelda, kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan yang dibunuh kejam bulan lepas, kini ditahan reman berhubung kes itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata Siti Salmy Suib, 32, kini dipercayai berada di rumah ayahnya di Petaling Jaya.

"Polis tidak menahan Siti Salmy. Janganlah sebarkan fitnah dan tolong cuba fahami perasaan keluarga mangsa sebelum menyebarkan sesuatu berita. Tolong rujuk pihak berkuasa bagi pengesahan maklumat," katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi DSP M. Gunalan berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kanak-kanak itu bersama suspek, diambil di aras empat sebuah kompleks membeli-belah di ibu kota.

Tiada CCTV di kawasan wanita itu dikatakan meninggalkan anaknya bersama rakan sebelum ke tandas, kata Gunalan.

Dalam kejadian 29 Mei lalu, mayat kanak-kanak berkenaan ditemui kira-kira 9 malam dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Jalan Hishamuddin di sini.

Mayat suspek yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Klang selepas membunuh kanak-kanak itu ditemui terapung di sungai berhampiran plaza tol Sunway pada 31 Mei lepas.

Menurut Gunalan, adik perempuan suspek yang berada di Kedah menyatakan abangnya menghilangkan diri sejak 15 tahun lepas dan tidak pernah menghubungi keluarga selepas itu.

Katanya keluarga suspek juga enggan menuntut mayat lelaki itu menyebabkan polis meminta pihak hospital menguruskannya.

Hasil siasatan juga mendapati suspek dan bapa kanak-kanak itu pernah ditahan reman di lokap yang sama sebelum suspek dimasukkan ke penjara Bentong dan bapa mangsa ke penjara Kajang.

Suspek memiliki empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan dibebaskan
dari penjara.