Polis sedang memantau dan mengesan beberapa laman sosial digital seperti SMS, Twitter dan Facebook yang digunakan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab yang memainkan isu-isu perkauman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata isu yang dimainkan itu sebagai cubaan berbentuk hasutan dan provokasi.

"Jika tidak dikawal ia mampu menimbulkan perasaan takut kepada orang ramai dan huru-hara," kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa tindakan ini harus dihentikan dengan segera.

Sementara itu, Ismail menegaskan bahawa pihak polis tidak akan membenarkana apa-apa jua bentuk perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

"Perhimpunan yang menyalahi undang-undang ini akan mencetuskan provokasi, hasutan dan kekerasan jenayah," kata Ismail.

Perhimpunan yang salah termasuk juga himpunan yang menentang mana-mana undang-undang di negara kita dan apa-apa jua bentuk khianat dan lain-lain kesalahan.

"Jangan terlibat secara langsung atau tidak langsung mana-mabna perhimpunan haram. Hanya perhimpunan yang dibenarkan ialah himpunan yang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 seperti memaklumkan ketua polis daerah," kata beliau.

Selagi ianya tidak mengikut syarat-syarat akta tersebut ianya tetap menyalahi undang-undang.

Beliau merujuk kepada satu perhimpunan besar-besaran 'Himpunan Konsesus Nasional 508' yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan bakal diadakan di Stadium MBPJ di kelana Jaya pada jam 8.30 malam esok.