Seorang lelaki dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya ketika berada di sebuah rumah bot, di Tasik Kenyir, di sini.

Dalam kejadian pada Sabtu, mangsa yang berusia 34 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakannya.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, sejurus menerima panggilan pada jam 7.37 malam sepasukan Polis Marin Tasik Kenyir dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jelasnya, hasil rakaman percakapan dengan adiknya, lelaki terbabit dikatakan ada menyatakan mahu membunuh diri seminggu sebelum kejadian.

Katanya, mangsa juga dikatakan mempunyai masalah mental dan sering mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Bagaimanapun, mangsa dipercayai tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan seperti biasa sebelum masuk bekerja di rumah bot itu.

Mohd Adli berkata mangsa seterusnya dibawa ke HHT untuk rawatan lanjut.

Siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan sedang dijalankan.



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.