KUALA LUMPUR:Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil maklum keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah, dan menghormati pilihan yang diambil majoriti rakyat negeri itu, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, rakyat Sabah telah melaksanakan tanggungjawab dalam proses demokrasi, walaupun negara masih di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ekoran penularan pandemik COVID-19.

Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau berharap agar proses pembentukan kerajaan negeri dapat dikemudi dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang telah memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP yang memenangi enam kerusi dan UPKO yang berjaya memenangi satu kerusi.

“Tahniah juga diucapkan buat Datuk Christina Liew, Pengerusi Keadilan Sabah di atas kejayaan Keadilan Sabah mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat Keadilan berbanding 2018,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau berharap agar semua pihak, termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkait COVID-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.

“Peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan, dan saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) KKM dan dilindungi daripada wabak ini,” katanya lagi.