KUALA LUMPUR:Lumrah bagi setiap golongan kanak-kanak yang sebahagian besarnya mengisi masa lapang mereka dengan pelbagai aktiviti permainan.

Namun situasi negara yang sedang berdepan dengan krisis kesihatan COVID-19 sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian mereka malah memberi kesan terhadap psikologi golongan itu.

Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Prof Datin Dr Mariani Md Nor, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan emosi anak-anak berada dalam keadaan terkawal.

“Emosi kanak-kanak sedikit sebanyak terjejas tetapi ia boleh dikawal dengan bantuan ibu bapa bagi menyediakan infrastruktur yang lebih baik.

“Infrastruktur yang boleh diguna pakai untuk isi masa lapang mereka di rumah kerana sekarang kurang aktiviti di luar disebabkan risiko COVID-19,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Situasi COVID-19 boleh mengakibatkan mereka (kanak-kanak) berasa tertekan disebabkan tenaga berbanding hari biasa mereka tidak digunakan selain ia bakal menyebabkan golongan itu menjadi gelisah.

Tambahnya, suasana kini agak berbeza jika dibandingkan dengan jadual seharian mereka di sekolah, tadika dan sebagainya yang lebih berstruktur dengan pelbagai jenis aktiviti.

Faktor keadaan sekeliling dan kawasan kediaman turut memainkan peranan penting dalam melihat kepada keadaan psikologi mereka.