Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggesa ibu bapa yang mempunyai anak tahun satu membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-1 Plus bagi merebut manfaat geran khas RM25 juta yang diperuntukkan sehingga akhir tahun ini.

Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata di bawah insentif itu, penyimpan dalam kedua-dua skim akan menerima tambahan simpanan sebanyak RM50 secara percuma.

"Setakat ini kita tidak ada lagi keputusan baharu. Kita hanya sediakan geran RM25 juta sehingga akhir tahun ini sahaja. Jadi kita tidak ada apa-apa keputusan untuk melanjutkan dan berharap jumlah itu dapat dihabiskan tahun ini," katanya pada sidang media sempena Majlis Mesra Bersama Pelanggan dan Pelancaran Cabutan Wow! 20 tahun PTPTN, di sini hari ini.

Insentif itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017 pada Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata dianggarkan terdapat kira-kira 500,000 murid tahun satu di seluruh negara tahun ini dan ibu bapa mereka hanya perlu mendepositkan RM50 bagi melayakkan mereka menerima simpanan tambahan itu.

Sehingga 30 Jun lalu, kira-kira 3.7 peratus daripada murid tahun satu menerima simpanan tambahan percuma tersebut, katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata sejak diperkenalkan sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 2.87 juta akaun dibuka bagi kedua-dua skim terbabit dengan jumlah deposit lebih RM2.78 bilion.

Terdahulu, Shamsul Anuar melancarkan Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN bagi semua pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus yang membuat pembukaan atau penambahan akaun.

Cabutan itu merangkumi cabutan bulanan dan cabutan istimewa dengan menawarkan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 yang diadakan sempena ulang tahun ke-20 penubuhan PTPTN pada 1997.

Sementara itu, dalam usaha meningkatkan jumlah penabungan dalam SSPN-i Plus, Shamsul Anuar berkata PTPTN memperkenalkan program Sahabat Niaga bagi menggalakkan penyertaan dalam kalangan agensi atau persatuan.

"Melalui usaha ini, agensi atau persatuan yang mempromosikan simpanan SSPN-i Plus akan mendapat sebanyak 30 peratus komisen, masing-masing 25 peratus untuk setiap ahli dan lima peratus lagi untuk agensi itu.

--BERNAMA