SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjanji akan memberi lebih banyak insentif kepada rakyat Selangor sekiranya gabungan itu dapat menawan negeri tersebut.

Mohamed Azmin mendakwa insentif yang akan diberikan lebih baik berbanding apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau ketika berucap dalam program Jelajah Selangor Baru di DUN Batu Tiga, PN telah membuktikan dapat membantu rakyat ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dengan berbagai insentif.

"Sekarang dapat atau tidak? Zaman kami, hidup senang, mati pun senang.

"Zaman DAP dengan PKR dan Zahid, hidup susah, mati lagi susah, tidak ada penyelesaian.

"Tetapi kita (PN) telah terbukti, dua tahun dunia menghadapi krisis, kita bantu bagi KWSP, sekarang mintak KWSP tak boleh, pergi pinjam bank.

"Ini Menteri Kewangan apa, itu bukan duit bapak kamu. Betul itu simpanan hari tua tapi dalam keadaan yang unprecedented kita kena ada penyelesaian yang precedented, itu kalau dia bijak," katanya.

Selain Mohamed Azmin, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan beberapa pemimpin lain turut hadir di ceramah tersebut.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor dibubarkan secara rasminya pada Jumaat lepas selepas Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah memperkenan pembubarannya.

Selangor merupakan antara enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.