Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring dengan penyusutan harga minyak mentah global.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan itu berada pada paras 4.3550/3650 berbanding AS daripada 4.3530/3630 sewaktu ditutup semalam.

Harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global susut di bawah US$20 setong berikutan kebimbangan mengenai kemudahan simpanan serta keadaan ekonomi global.

Minyak mentah tersebut didagangkan pada paras 0.6 peratus lebih rendah pada US$19.87 ketika isu membabitkan tempat simpanan yang terhad khususnya di AS manakala sentimen ekonomi global terus dijejaskan oleh penularan COVID-19.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata kebimbangan itu terus ketara ketika AS menjadi negara penyumbang utama kepada angka membabitkan COVID-19 berkenaan.

Dalam pada itu, pada sesi pembukaan dagangan hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0673/0759 daripada 3.0672/0754 sewaktu ditutup pada Isnin namun meningkat berbanding yen kepada 4.0591/0688 daripada 4.0610/0715.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4120/4261 daripada 5.4121/4254 manakala berbanding euro, ia turut naik kepada 4.7169/7290 daripada 4.7221/7347 semalam. -BERNAMA