Sebanyak RM35,800 bantuan diberi kepada 22 mangsa atau waris serangan binatang buas dan berbisa melalui Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB) sejak Januari hingga Mac lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Zulkiply Ramli berkata jumlah berkenaan melibatkan kes kecederaan akibat diserang binatang buas.

Katanya, tiada kes melibatkan kematian tahun ini.

"Serangan paling banyak membabitkan serangan ular iaitu sebanyak 19 kes, serangan babi satu kes dan serangan kera atau beruk sebanyak satu kes," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, pada tahun lepas sejumlah 257 kes direkodkan membabitkan jumlah bantuan sebanyak RM839,200 dengan 23 daripadanya melibatkan kematian.

Katanya kes paling banyak membabitkan serangan ular iaitu 187, babi (25), buaya (23), kera atau beruk (16), gajah (3), biawak, tebuan, lebah, beruang masing-masing satu kes.

Pada 19 April lepas, seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim 1, Pengkalan Chepa, Nuriey Nadhirah Roslan, 7, maut dipercayai dipatuk ular di sekolahnya.

Susulan kejadian itu, beberapa blog menyebarkan mengenai bantuan TSBB yang boleh dituntut oleh mangsa atau waris akibat serangan binatang buas termasuk ular kerana masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan bantuan berkenaan.

Ia kemudian dikongsi netizen melalui laman sosial Facebook dan WhatsApp.

Sementara itu menurut Zulkifly, TSBB yang diluluskan Kabinet pada 2004 di bawah JKM, memperuntukan bantuan maksimum RM20,000 untuk kes kematian atau kehilangan upaya kekal akibat serangan binatang buas.

Bagi hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kecederaan.

"TSBB bertujuan membantu meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa serangan binatang buas," katanya.

Syarat kelayakan ialah mangsa atau waris serangan binatang buas boleh membuat tuntutan TSBB sekiranya diserang binatang yang dikategorikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebagai binatang buas.

Terdapat 15 jenis binatang buas yang dikategorikan iaitu gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular berbisa, primat (beruk, kera, siamang, ungka, lotong dan kongkang) dan buaya.

Binatang lain, termasuk semua jenis tebuan dan lebah liar, semua jenis musang, kucing batu, kucing hutan serta babi bodoh, katanya.