Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang membuat sebarang ugutan terbuka mengenai usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 diminta segera meletakkan jawatan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, mereka juga mungkin terlupa tanggungjawab sebagai pemimpin selain tidak faham tentang isu berkenaan.

"Apa masalah presiden beberapa parti komponen BN dengan isu RUU Mahkamah Syariah yang akan dibentangkan di Parlimen sehingga mereka mengugut hendak meletakkan jawatan. Kalau hendak letak jawatan, letaklah.

"Mungkin mereka lupa Perlembagaan yang sudah terang termaktub Islam sebagai agama persekutuan. Mungkin mereka lupa ketika mereka mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen kepada Agong selaku Ulul Amri atau Ketua Agama dalam negara untuk mempertahankan Perlembagaan. Mereka tidak paham apa yang dibicarakan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bantahan terhadap mana-mana rang undang-undang ke arah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

BACA: RUU Mahkamah Syariah: Pihak terlibat perlu duduk dan bincang - KP IKIM

BACA: RUU: Pemuda UMNO Kedah ingatkan komponen BN tidak buat ugutan terbuka

BACA: MCA bantah apa jua RUU berkaitan hudud di Malaysia - Liow

Tegasnya, pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan hubungan antara etnik. Tiong Lai turut menyatakan mahu keluar dari Kabinet seandainya RUU itu diluluskan.

Selain Tiong Lai, Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam turut mengisytiharkan akan meletak jawatan daripada Kabinet jika hudud dilaksanakan.

Dalam pada itu tegas Armand, pemimpin berkenaan perlu faham Usul Pindaan Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah itu sendiri yang bukan bertujuan mewujudkan undang-undang baharu.

RUU Ahli Persendirian berkaitan hudud dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Khamis lepas. Perbahasannya ditangguhkan ke sesi akan datang.

Rang undang-undang persendirian itu disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam aturan mesyuarat pada hari akhir sidang Dewan Rakyat. Ia buat pertama kalinya dibenar untuk dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, selepas dipercepatkan untuk dibahaskan.