Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM100 melibatkan penyerahan alat komponen motosikal yang dirampas kerana disyaki dicuri.

Norul Ezwan Nasir, 34 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob, hari ini.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 5 Oktober 2017 antara jam 4.35 petang dan 8.17 malam di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis, Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa atas kapasitinya sebagai seorang ejen kerajaan, telah secara rasuah meminta wang suapan berjumlah RM100 daripada Mohammad Syafiq Ahmad Sahrul.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk menyerahkan semula Sportrim Yamaha LC 136 dan Inner Coverset LC 135 yang dirampas kerana disyaki merupakan barang curi.

Dia juga dituduh atas jawatan sama telah secara rasuah menerima wang suapan berjumlah RM100 dari Mohammad Syafiq sebagai dorongan menyerahkan komponen motosikal tersebut.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Namun, peguam Muhammad Razman Sahat yang mewakili Norul Ezwan memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah iaitu RM5,000, memandangkan isteri tertuduh sedang mengandung dan ketiga-tiga anaknya masih bersekolah.

Kes disebut semula 27 Februari depan.