Sekolah di daerah Jerantut dan Temerloh yang ditutup hari ini akan terus ditutup esok berikutan cuaca panas, kata Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail.

Beliau berkata suhu di dua daerah berkenaan masih tinggi iaitu 38.5 darjah celcius di Jerantut dan 37.8 darjah celcius di Temerloh.

"Bagaimanapun staf dan guru perlu hadir bertugas seperti biasa," katanya kepada Bernama.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di Perlis, Jerantut dan Temerloh di Pahang ditutup hari ini, berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara.

Ujar kementerian itu dalam satu kenyataan petang Ahad, penutupan tersebut adalah sebagai langkah penjagaan terhadap kesihatan pelajar.