Semua sekolah di negeri Perak dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti diluar kelas ekoran suhu yang tinggi ketika ini.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, suhu yang mencecah sehingga 35 darjah celsius kini dianggap merbahaya dan dibimbangi boleh terkena strok haba akibat cuaca yang terlalu panas.

Menurut Abdul Aziz, beliau telah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk meminta semua sekolah-sekolah di negeri ini untuk mengurangkan aktiviti di luar kelas bagi mengelakkan pelajar daripada terdedah cuaca panas terlalu lama.

“Kanak-kanak terutamanya para pelajar yang terdedah dengan panas terlalu lama lebih mudah terkena strok haba.

“Saya berharap guru-guru dapat memastikan sebarang aktiviti luar ketika ini dapat diminimumkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Aziz berkata, beliau mendapati terdapat sesetengah sekolah juga mengambil langkah kempen minum air masak.

Menurutnya, kempen seumpama itu amat membantu ketika cuaca seperti sekarang.

Selain pihak sekolah, beliau juga berharap ibu bapa dapat membantu memastikan kesihatan anak mereka sepanjang musim panas ini dengan memberi mereka banyak minum air selain menghadkan masa anak mereka di luar rumah.