Sektor pelancongan kekal kompetetif dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, terutama menjelang kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata berdasarkan statistik, sektor pelancongan menyediakan 3.4 juta peluang pekerjaan tahun lalu bersamaan 23.4 peratus daripada jumlah pekerjaan di negara ini.

"Potensi sektor pelancongan dalam mewujudkan peluang pekerjaan adalah besar ditambah dengan peningkatan jumlah pelancong dari seluruh dunia ke Malaysia, dan oleh itu, VM2020 perlu dimanfaatkan oleh pencari kerja dalam sektor ini," katanya.

Muhammad Bakhtiar berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen VM2020 peringkat negeri Pahang di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Tourism Pahang Datuk Ishak Mokthar dan Pengarah Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Datuk Idros Yahya.

Beliau juga memaklumkan bahawa untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, kedatangan pelancong asing ke Malaysia ialah 13.35 juta orang iaitu peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Kita berharap pencapaian lebih positif dapat dicapai pada separuh kedua tahun ini yang masih lagi berbaki bagi mencapai sasaran 28.1 juta pelancong asing yang ditetapkan tahun ini," katanya.

Muhammad Bakhtiar juga memberi jaminan kerjasama erat akan diteruskan dengan kerajaan negeri Pahang dalam mempromosikan produk pelancongan seluruh negeri ini yang sememangnya mempunyai destinasi ekopelancongan terkemuka.

"Saya dimaklumkan terdapat 42 acara pelancongan yang dirancang akan diadakan di Pahang tahun hadapan dan ini bukan hanya menarik kehadiran pelancong dan menunjukkan komitmen mereka terhadap VM2020," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebakaran di Sungai Lembing yang merupakan Tapak Warisan Negara pada 31 Ogos lalu, Muhammad Bakhtiar berkata kejadian itu tidak menjejaskan status tersebut.

-- BERNAMA