Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa beliau menerima jemputan semula untuk ke Jepun pada 26 Februari ini, setelah lawatannya ke negara itu pada bulan lalu dihalang.

"Sasakawa Peace Foundation telah mengundang saya ke Tokyo bulan lalu.. datang bagi pihak Yayasan (Foundation) dan telah menghubungi badan-badan berkaitan, kementerian luar dan imigresen.

"Beliau menyatakan minta maaf dan saya tidak menganggap ia terlalu serius," katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Jiro Hanyu.

Katanya selepas perbincangan yang panjang dengan pihak Yayasan, dia membuat keputusan untuk menerima jemputan semula itu pada Februari 26 ini.

Anwar turut meluahkan penghargaan kepada Jiro yang menurutnya telah bersusah payah datang ke Malaysia untuk menjemputnya semula dan memohon maaf.

"Saya juga menerima undangan beliau untuk ke Jepun semula pada 26 Februari ini selepas beliau memberi jaminan bahawa insiden saya dihalang tidak akan berlaku lagi," katanya.

Anwar ketika ditanya samada beliau masih percaya bahawa Putrajaya ada kaitan dengan kejadian itu, beliau berkata: "Kita lupakannya. Ia kecil berbanding apa yang saya lalui sebelum ini."

Lawatan beliau kali ini adalah untuk menyertai forum 'Demokrasi dalam Dunia Islam'

Sementara itu, Jiro berkata sebagai tuan rumah beliau berasa bertanggungjawab di atas kejadian yang disifatkannya 'amat memalukan' itu.

Beliau juga berjanji akan memastikan perkara yang sama tidak berlaku lagi serta memuji sikap Anwar yang masih mahu menerima jemputan tersebut.

"Saya gembira kerana beliau menerima jemputan ini, kerana beliau bukan sahaja tokoh terkenal di sini tetapi juga bagi seluruh dunia.

"Oleh itu saya harap insiden tersebut tidak akan menjejaskan hubungan baik di antara kedua-dua negara," kata Jiro.

Pada 19 Januari lalu, Anwar dilarang daripada memasuki Jepun selepas beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan diarah untuk berpatah balik dengan segera atau akan diusir keluar.

Beliau ke negara tersebut atas undangan pengerusi Yayasan Nippon untuk membuat penyampaian mengenai Demokrat Islam.

Anwar menyifatkan adalah tidak wajar bagi pihak berkuasa imigresen Jepun untuk melarangnya daripada memasuki negara itu tanpa alasan yang ikhlas dan sah.

Berikutan insiden itu, Anwar sebelum ini turut mendakwa tindakan itu didalangi oleh Wisma Putra dan mendesak Menteri Hal Ehwal Luar Negara memberikan penjelasan.

Tambahan, Anwar mendakwa bahawa beliau telah memasuki Tokyo sebanyak tiga kali sebelum ini tanpa sebarang halangan iaitu pada 2006, 2009 dan 2012.