Serangan jantung koronari adalah jenis penyakit jantung utama dan paling kerap dihidapi rakyat Malaysia, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jelasnya, pada masa sama, purata umur pesakit jantung koronari di negara ini adalah jauh lebih muda berbanding dengan negara maju iaitu 59 tahun.

"Penyakit jantung boleh terjadi semasa kita masih lagi di dalam kandungan ibu mahupun pada usia yang telah lanjut. Jenis penyakit jantung yang utama dan paling kerap dihidapi oleh masyarakat Malaysia adalah serangan jantung koronari.

"Purata umur pesakit jantung koronari di Malaysia juga adalah jauh lebih muda berbanding dengan negara-negara maju iaitu 59 tahun," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di PPUM di sini hari ini.

Jelas beliau, lingkungan umur berkenaan adalah 5 hingga 6 tahun lebih muda dari negara-negara maju.

"Oleh itu langkah pencegahan dari segi perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat adalah penting. Langkah-langkah pencegahan hendaklah bermula dari awal lagi semasa di usia kanak-kanak," tambahnya.

Mengikut data Pusat Informatik Kesihatan KKM, jumlah bilangan kematian yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular di hospital kerajaan pada tahun 2017 adalah sebanyak 10,284 kematian.

"Selain itu, laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2014 pula menunjukkan sebanyak 36% (52,560) kematian yang berlaku di Malaysia disebabkan oleh penyakit jantung dan strok," ujar beliau lagi.

Faktor-faktor risiko serangan jantung juga sebahagian besarnya berkait rapat dengan gaya hidup seseorang dan penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) yang lain misalnya penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), tahap kolesterol yang tinggi (hiperkolesterolaemia), berat badan berlebihan (obesiti), merokok dan sebagainya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menyarankan pusat perubatan, hospital dan klinik berusaha memastikan semua peralatan yang digunakan ke atas pesakit adalah yang terbaik, terkini dan berteknologi tinggi terutama untuk pesakit yang menghidapi masalah jantung.

"Kelengkapan yang mencukupi hendaklah disediakan bagi proses mengesan dan merawat terutamanya bagi pesakit yang mengidap penyakit jantung. Walaupun kita berada di dalam situasi kekangan kewangan, kerajaan amat komited untuk memberi sokongan penuh bagi memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit di hospital di Malaysia," ujarnya.