Walaupun sibuk menggalas tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Pandan.

Dr Wan Azizah yang menang kerusi Parlimen kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, hari ini meluangkan masa menziarah mangsa kebakaran rumah setinggan di Pandan Jaya di sini, sebaik selesai menghadiri mesyuarat Kabinet kali kedua dan sidang media di Putrajaya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, meluangkan masa kira-kira 30 minit di Dewan Pandan Bestari yang menempatkan semua mangsa buat sementara waktu dan menyelaras hal kebajikan semua 70 orang mangsa.

"Pihak kerajaan akan mendapatkan bantuan kemudahan untuk meringankan beban mereka. Untuk jangka masa pendek ini, kita akan beri keselesaan sikit kepada mereka di tempat ini sebagai transit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, kesemua 70 mangsa yang tinggal di penempatan itu tinggal sehelai sepinggang namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa wang tunai kepada mangsa terbabit.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat daerah berkenaan (Pejabat Daerah Hulu Langat) akan menyusun semua bantuan secepat mungkin kepada mangsa.

Katanya, kerajaan akan mencuba sebaik mungkin untuk memberi keselesaan kepada kesemua mangsa sekurang-kurangnya dengan menyediakan khemah bagi tujuan privasi sewaktu mereka berada di pusat penempatan sementara berkenaan.

-- BERNAMA