Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan mengesan usaha pihak bertanggungjawab dalam memperdayakan golongan wanita untuk menyertai kumpulan pejuang bersenjata di luar negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pergerakan yang dinamakan ‘jihad al-nikah’ itu mensasarkan golongan terbabit untuk direkrut dan dihantar bagi memenuhi keperluan perjuangan kumpulan berkenaan.

Menurut Shabery, pihaknya turut melihat perkembangan berkenaan sebagai sesuatu yang berbahaya kepada nilai murni serta kesucian agama islam dan ia perlu dibendung segera.

“Jihad al-nikah ialah satu praktis dimana kaum perempuan dipanggil untuk pergi ke sana untuk memenuhi keperluan lain untuk kumpulan pejuang yang bergerak di sana,” kata Shabery.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila golongan pelajar universiti juga terpengaruh dengan konsep jihad yang diperjuangkan sesetengah kumpulan terbabit.

Katanya, tindakan seorang pelajar wanita sebuah universiti tempatan untuk menyertai perjuangan militan atas konsep jihad membuktikan kelicikan kumpulan terbabit dalam memenuhi keperluan mereka.

Shabery ditemui selepas merasmikan majlis penutup program “Science on Wheel” anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Felda Cherul, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, SKMM akan menjalin kerjasama erat dengan badan agama di negara ini terutama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menerangkan konsep jihad yang sebenar.

Shabery berkata pihaknya akan meminta pakar-pakar dalam bidang berkenaan supaya mengeluarkan kandungan dan hujah yang boleh memberi penerangan kepada orang ramai berkenaan konsep jihad yang dituntut Islam.

“Jadi dari segi kandungannya dan sebagainya, kita minta supaya pakar pakar dalam bidang ini untuk membina atau membuahkan kandungan yang boleh memberi penerangan kepada orang ramai tentang prinsip jihad yang sebenar, apa yang dimaksudkan tentang syahid..jihad untuk apa dan sebagainya.

Selain JAKIM, pihaknya turut mengalu-alukan badan-badan agama Islam lain dalam memberi penerangan berkenaan konsep jihad yang dimanipulasi pihak militan untuk mendapatkan ahli baru.

Menurut Shabery, pihaknya akan terus memantau laman-laman yang dikenalpasti berusaha merekrut masyarakat supaya menyertai aktiviti keganasan yang berselindung di sebalik konsep jihad.

Pihaknya akan menggabungkan kepakaran yang dimiliki SKMM dan golongan agamawan dalam usaha memerangi propaganda kumpulan pengganas di alam siber.

Terbaru, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedang menyediakan Kertas Putih menggariskan ancaman kegiatan keganasan yang melibatkan rakyat Malaysia.

Buat masa ini, sejumlah 167 rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan militan di luar negara, sejak Dis 2001 sehingga kini.