Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Mac untuk membuat keputusan berhubung permohonan bagi kes pengubahan wang haram lebih RM32 juta dihadapi bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Teo Chee Kong dibicarakan serentak dengan kes tiga lagi bekas pegawai JANS.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mengemukakan permohonan itu.

Sebelum ini, dua bekas Pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, dan Fauziah Piut, 51, serta bekas Timbalan Pengarah JANS Lim Lam Beng, 62, mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.

Teo yang diwakili peguam Roland Cheng, Nelson Anggang dan Ram Sing menghadapi 146 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM32 juta berkaitan projek di Jabatan Air Negeri Sabah sejak 2010 hingga 2016.

Sebanyak 78 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 iaitu memiliki 70 bidang tanah hasil aktiviti haram melalui 78 transaksi bernilai RM12,705,203.

Sejumlah 68 pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) akta sama iaitu enam kesalahan memiliki wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM7,930,810 dan 62 kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil aktiviti haram di lapan institusi kewangan berjumlah RM12,287,240.

Mahkamah turut menetapkan 20 Mac untuk membuat keputusan bagi notis usul pengeluaran filem kamera litar tertutup (CCTV), buku pendaftaran lokap dan dokumen berkaitan ketika proses reman yang difailkan oleh Teo, 52, dan ditolak oleh Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum ini.

-- BERNAMA