Orang ramai seharusnya tidak bimbang dengan laporan kononnya Stesen Angkasa China Tiangong-1 berkemungkinan bakal terhempas di bumi Malaysia termasuk Kuala Lumpur seperti yang didakwa sesetengah pihak .

Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad, kemungkinan Tiangong-1 jatuh di Malaysia adalah sangat rendah.

“Berdasarkan kiraan, luas kawasan yang dirangkumi 43 darjah utara hingga ke 43 darjah selatan melibatkan banyak negara lain di dunia termasuk Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, Singapura, Sydney, Florida dan Beijing.

“Kebarangkalian untuk Kuala Lumpur menjadi tempat jatuhnya serpihan adalah kecil iaitu kira-kira 0.0000699 peratus dan Malaysia pula hanyalah 0.09 peratus,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kebanyakan komponen dan struktur daripada Tiangong-1 akan musnah terbakar semasa pergeseran dengan atmosfera dan risiko untuk serpihan itu mendatangkan kerosakan terhadap aktiviti di bumi termasuk penerbangan adalah sangat rendah.

Penyusutan Tiangong-1 sedang diperhatikan secara teliti oleh pelbagai agensi seperti ESA, NASA, JAXA dan CNSA.

Tiangong-1 adalah stesen angkasa milik China yang dilancarkan pada 29 September 2011 dan pada September 2016, Penolong Pengarah di China Manned Space Engineering (CMSE), Wu Ping mengumumkan bahawa stesen angkasa berkenaan akan jatuh ke atmosfera bumi pada penghujung 2017, selepas misi selama enam tahun.