Akibat terlalu percayakan dengan ayat-ayat manis yang diungkapkan oleh 'kekasih' di dalam Facebook, seorang suri rumah kerugian RM151,800 ditipu sindiket 'love scam'.

Wanita berusia 51 tahun itu dikatakan sanggup meminjamkan sejumlah wang kepada suspek walaupun tidak pernah bertemu dengannya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa yang berasal dari Kuantan, Pahang berkenalan dengan lelaki terbabit di Facebook sejak Januari tahun lalu sebelum menjadi mangsa.

"Dalam tempoh perkenalan, lelaki berkenaan menyatakan mahu datang ke Malaysia bagi urusan mengambil wang milik syarikat ayahnya berjumlah RM1.2 juta.

"Untuk tujuan itu, suspek meminta untuk meminjam sejumlah wang daripada mangsa terlebih dahulu dan wanita berkenaan bersetuju," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan duit ke dalam enam akaun berbeza yang diberikan oleh suspek berkenaan sehingga berjumlah keseluruhan RM151,800.

"Selepas memasukkan kesemua wang berkenaan, mangsa tidak dapat menghubungi suspek dan berasa sepert ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam," katanya.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan berkenalan dan menjalinkan hubungan dengan mangsa melalui Facebook sehingga wanita berkenaan memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan.

"Wanita ini dipercayai menjadi mangsa sindiket 'love scam' yang aktif memperdaya mangsa dalam kalangan wanita di laman sosial dengan menggunakan kata-kata manis selain menawarkan pelbagai hadiah kepada mangsa.

"Polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.