Seorang lelaki yang melarikan diri selepas bertindak agresif menggunakan parang berjaya ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Jelor, Pasir Puteh, pada jam 12 tengah hari, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Wan Khairuddin Wan Idris berkata suspek berusia 36 tahun itu melarikan diri daripada polis ketika serbuan dilakukan di sebuah pondok kosong di Kampung Padang Mengkali, Melor, kira-kira jam 4.30 petang pada 15 Januari.

Katanya, ketika kejadian, anggotanya ternampak kelibat seorang individu berada di pondok itu dan menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan cuba melibaskan parang ke arah anggota yang bertugas.

"Bagi mempertahankan diri dan juga keselamatan, salah seorang anggota melepaskan tembakan dan terkena pada bahagian tangan kiri suspek.

"Selepas terkena tembakan, suspek melarikan diri dengan mencuri motosikal penduduk yang dalam perjalanan balik dari masjid sebelum meninggalkan motosikal yang dicuri pada jarak satu kilometer," kata Wan Khairuddin ketika dihubungi.

Tambahnya, suspek memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, senjata merbahaya, kesalahan curi, khianat dan pecah rumah.

Suspek direman bermula hari ini mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.