Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini bersumpah akan meletakkan jawatan seandainya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikannya menyalahguna kuasa dalam isu tender di Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri Belia dan Sukan itu mengakui, tidak takut dengan dakwaan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang dikatakan mempunyai bukti kontrak bernilai RM7 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat untuk mengendalikan Institut Kemahiran Belia Negara di Melaka, Selangor dan Perlis.

"Wallahi, Watallahi, Wabillahi. Allah sebagai sebagai bukti saya di sini. Kalau ada salah guna kuasa, penyelewengan dan SPRM membuktikan bahawa ini salah guna kuasa, saya akan jadi orang pertama yang letak jawatan.

"“Saya tidak takut dalam bab ini, saya boleh namakan satu persatu tender sebelum ini dilakukan melalui rundingan terus dan tender terhad.

“Projek terbengkalai bernilai puluhan juta dibazirkan, kontrak pergi kepada rakan-rakan sejawat dalam UMNO bahagian, saya boleh buktikan,” katanya ketika didesak untuk meletakkan jawatan oleh Mohd Shahar Abdullah (BN - Paya Besar) seandainya terlibat dalam isu tender berkenaan.


Terdahulu, Jalaluddin bertanya kertas dengan nama beberapa syarikat terbabit yang diletakkan di mejanya di Dewan Rakyat oleh seorang pegawai kementerian.

Beliau bertanya kenapa kontrak itu diberikan kepada syarikat tertentu apabila lebih 6,000 syarikat Bumiputera layak untuk mengendalikan perniagaan makanan di institut berkenaan.

Dalam pada itu Syed Saddiq menjelaskan, walaupun kontrak lebih mudah diagihkan dengan rundingan terus melalui kuasa pilih oleh menteri namun proses yang diperbaharui kini memastikan ia tidak berlaku.

“Kita kini menggunakan sistem online, e-perolehan dan tender terbuka dan selepas itu ada lagi lapisan semak imbang yang memastikan ketelusan proses berkenaan,” katanya.