PUCHONG: Malaysia mampu menjuarai kejohanan Mobile Legends Bang Bang Southeast Asia Cup (MSC) 2022 yang akan dianjurkan pada 11 hingga 19 Jun ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Keyakinan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang yakin beraksi di tempat sendiri akan memberi kelebihan buat pasukan Todak dan Orange Esports yang mewakili negara.

Menurutnya, cabaran paling besar dijangka hadir daripada pasukan Filipina namun beliau tetap optimis dengan peluang Malaysia yang disifatkan mempunyai kualiti untuk mengungguli kejohanan tersebut.

"Saya kenal pemain-pemain dari Orange Esports dan Todak. Saya dah kenali sebelum ini, hampir setahun sejak jadi menteri dan saya tahu kebolehan mereka.

"Saya juga dah pantau daripada jauh dan saya lihat di dalam pasukan yang menyertai ini, mungkin pasukan Filipina akan beri cabaran.

"Tapi saya amat yakin dengan bermain di tempat sendiri dan kebolehan atlet-atlet kita, saya amat yakin kita boleh menjuarai kejohanan pada kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media MSC 2022 di Puchong pada Jumaat yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan atlet yang akan mewakili Malaysia.

Kejohanan yang kali pertama dianjurkan di Malaysia itu menyediakan hadiah wang tunai berjumlah AS$300,000 dan disertai 12 pasukan daripada Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja, Thailand dan Myanmar.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal gembira dengan penganjuran kejohanan sebegitu di Malaysia kerana menurutnya, ia bukan sahaja membuatkan e-sukan terus berkembang namun membolehkan Malaysia mendapat lebih ramai atlet baharu.

"Saya sedar bahawa ramai juga yang amat kecewa dengan prestasi daripada pasukan Malaysia sewaktu di Sukan Sea Vietnam.

"Tapi saya lihat mereka telah beri sepenuhnya, beri saingan yang begitu sengit tapi nasib tak menyebelahi kita.

"Saya amat yakin di dalam Sukan SEA akan datang di Kemboja dalam 10 bulan lagi, saya yakin kita tentu akan membawa pulang beberapa pingat," ujarnya.