KEPALA BATAS: Sebuah pusat belia dilengkapi stadium mini bertaraf antarabangsa bernilai RM45 juta akan dibina di kawasan Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pembinaan pusat belia berkenaan adalah salah satu usaha yang dirangkanya ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Pembinaan pusat belia yang dilengkapi kemudahan sukan itu akan dimulakan dalam tempoh masa terdekat selepas peruntukannya telah diluluskan dan kini di peringkat Kementerian Kewangan.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pusat belia itu akan dibina di atas tanah berkeluasan 10 hektar yang lengkap dengan segala kemudahan untuk aktiviti riadah dan sukan.

"Yang terbaru sekali pembangunan apa disebut Kepala Batas Youth Center yang terletak tidak jauh dari sini iaitu 5km di Bertam Perdana dan Pinang Tunggal.

"Kawasan seluas 25 ekar akan mempunyai mini stadium yang bercirikan yang paling moden, ada lampu limpah, padang synthetic track, ada padang biasa untuk latihan barlapan, ada arena, dan ciri terpenting ada eSport arena yang mempunyai fasilitas bertaraf antarabangsa," katanya.

Selain itu, Reezal Merican berkata, sebuah penginapan atau asrama bercirikan kabin yang dilengkapi dengan kafe 'hipster' juga akan dibina di pusat belia berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Santai Anak Muda dan merasmikan eSport Youth Cabin berhampiran Wisma UMNO Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

Katanya eSport Youth Cabin ini akan dijadikan sebagai “port” golongan muda di Kepala Batas dengan pelbagai program dan inisiatif yang bermanfaat.

Antara kemudahan yang disediakan seperti PlayStation, komputer dengan spesifikasi gaming yang terkini serta studio produksi yang memberi peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan minat sebagai pemain sukan elektronik profesional.