Meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia merupakan satu langkah penting dalam usaha membawa semula tumpuan badan itu kepada tujuan asalnya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, masih banyak yang perlu dilakukan dari segi pengawasan ke atas badan itu, tetapi beliau tidak menjelaskan lebih lanjut.

Katanya, TH adalah institusi yang bagus tetapi ia telah disalah urus oleh pihak-pihak yang menggunakannya untuk kepentingan politik atau peribadi.

“TH ialah contoh di mana kerosakan telah terjadi dan kepercayaan telah dikhianati. Ia bukan salah institusi itu, atau pelaburnya, tetapi pihak pengurusan yang telah menyalahguna kuasa untuk merompak daripada rakyat.

"Tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka," tambahnya ketika bercakap kepada media pada Simposium Tahunan Ke-Empat Kewangan Islam di sini hari ini.

BACA: Isu Tabung Haji: Apa yang anda perlu tahu?

BACA: Sejarah penubuhan Lembaga Tabung Haji dan Yayasan Tabung Haji

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata TH akan diletakkan di bawah kawal selia bank pusat itu mulai Januari tahun depan.

Langkah itu diambil bagi meraih semula kepercayaan pendeposit ke dalam tabung itu.

BACA: Insya-Allah, yakin Tabung Haji dapat beri hibah seperti biasa!

Kata Mujahid, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.