Polis menafikan maklumat seorang tahanan polis yang melarikan diri pada 7 Disember lalu telah diberkas semula seperti yang tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat berkata, polis ketika ini masih lagi meningkatkan usaha memburu OKT (orang kena tuduh) berkenaan di sekitar kawasan Kampung Paya Jaras Tengah, di sini.

"Dalam operasi semalam, kira-kira 40 anggota polis daripada IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Klang Utara, dan Unit Pencegahan Jenayah D7 Balai Polis Lejang serta 20 anggota polis balai polis Sungai Buloh telah dikerahkan.

"Operasi ini juga turut menggunakan perkhidmatan bantuan unit anjing IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Selangor bagi mengesan OKT dan kawasan pencarian diperluas sehingga 5 kilometer per segi," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.

Mohd Yusoff menyeru orang ramai supaya tidak mudah percaya maklumat yang viral di media sosial yang boleh membawa kekeliruan.

Jelasnya, kejadian jam 8 malam itu berlaku apabila tahanan bersama empat anggota dan seorang pegawai polis dari Balai Polis Klang Utara yang dibawa ke Paya Jaras untuk mengesan seorang rakannya (penjenayah) yang masih lagi bebas.

"Selepas OKT memberikan petunjuk baru serbuan dilakukan di rumah rakannya yang dikenali Mimi. Ketika serbuan dibuat OKT berada di dalam van polis bersama anggota polis. Selepas 10 minit, suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan yang berdekatan," katanya lagi.

Mohd Yusoff meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan

OKT dipercayai terlibat dalam lebih 20 kes ragut dan samun sekitar Klang Utara, Sungai Buloh dan Damansara.