Tahniah Malaysia!

Tahniah Malaysia!
Dalam tahun 2016 hinggalah ke tahun akan datang, rakyat negara ini telah berjaya membezakan persepsi dan realiti. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
SATU lagi tahun telah berjaya kita lalui. Tahun yang boleh dikatakan agak sukar dan mencabar, tetapi tidak kurang juga kejutan dan lakaran yang indah. Tahun 2016 berjaya memperlihatkan bagaimana setiap isu yang timbul, setiap perkara yang menjadi buah mulut dan cabaran yang dihadapi oleh sebuah negara majmuk bernama Malaysia ini berjaya ditangani dengan tenang oleh pucuk pimpinan dan juga masyarakat negara ini.

Tegapnya langkah kita dalam menghadapi segala ancaman dan juga cabaran yang berlaku terhadap negara ini tidak lain tidak bukan adalah berasaskan daripada perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat. Perpaduan yang dijalin daripada peringkat atasan hinggalah ke marhaen bawahan menjadikan kita mampu untuk terus bergerak menuju ke negara maju seperti yang kita idamkan.

Kita lupakan seketika segala sengketa yang membuat kita bermasam muka pada tahun 2016.

Keghairahan seorang bekas Perdana Menteri mencabar perdana menteri pada ketika ini mewujudkan perpecahan yang agak ketara. Pertembungan seteru kuning dan merah di jalanan juga membuat kita berpecah kepada dua. Tidak kurang juga isu-isu seperti Rang Undang-undang 355 yang membuat kita berlawan pendapat sesama kita serta isu penukaran agama anak di mahkamah syariah oleh mereka yang berlainan agama. Dan akhir sekali, isu-isu tentang masyarakat sama ada tentang air, kemiskinan hidup dan penindasan yang tidak kita peka.

Walaupun banyak kes-kes yang melibatkan perpecahan kaum di negara ini tetapi tiada satu pun yang benar-benar berjaya mewujudkan kebencian yang tinggi terhadap kaum lain di negara ini.

Tiuplah api kebencian terhadap kaum lain, nescaya ia tidak akan merebak cepat kerana tingginya toleransi dan bersangka baik kita terhadap sesuatu kaum. Dalam tahun 2016 hinggalah ke tahun akan datang, rakyat negara ini telah berjaya membezakan persepsi dan realiti. Satu tidak mewakili semua. Istilah Melayu pemalas, Cina penipu, India pemabuk sudah tidak boleh lagi dijadikan alat untuk mengecam sesuatu kaum. Keadaan sebeginilah yang menjadikan negara ini berjaya menempuh apa jua cabaran yang cuba mengucar-ngacirkan negara ini.

Tahniah masyarakat Malaysia.

Dalam sebuah pimpinan kerajaan. Sesuatu yang harus kita ambil tahu ialah suara rakyat yang tidak berkepentingan sebaliknya berusaha untuk menegur kerajaan sekarang untuk menjadi lebih baik menjelang masa hadapan. Bukanlah hendak mencanang keburukan pimpinan tetapi pimpinan yang baik haruslah bersedia untuk mendengar kritikan dan meraikan perbezaan pendapat seterusnya mengambil pendekatan membuat penilaian terhadap sesuatu pendapat.

Sebagai contoh, apabila isu yang melibatkan negara seperti 1MDB yang dibincangkan sebagai suatu isu jenayah antarabangsa, sekiranya wujud cadangan yang mampu menyelesaikan masalah ini, adalah wajar untuk ia dipertimbangkan berbanding pendekatan menghukum dan menggantikan kepada mereka yang lebih kita gemari. Kadang-kala, orang menegur kerana sayang, bukan kerana benci dan mahu menghukum semata-mata. Pada masa hadapan, sikap ini boleh diubah kearah menuju pimpinan yang lebih baik.

Selain itu, kita juga harus memuji barisan kerajaan yang berjaya memacu Malaysia dalam melayari ekonomi global yang semakin menggila pada masa kini. Lihat sahaja tinggi mana beza nilai dolar dan ringgit Malaysia. Lihat pada kadar inflasi negara dan hutang-hutang negara. Jika inilah unjuran kemajuan yang dibuat terhadap Malaysia, maka kita layak memuji negara kita kerana dalam kesempitan global, kita berjaya untuk tidak menjadi negara yang paling buruk tukaran nilai mata wangnya, dan bukanlah negara kita yang paling tinggi kadar inflasinya. Jika logik sebegini hendak kita sangkal maka apa bezanya kita dengan seorang Menteri yang menilai kekayaan negara berdasarkan jumlah penduduk negara ini yang masih ramai mampu membeli KFC?

Walau bagaimanapun, pada zaman kesempitan ini, kerajaan harus menumpukan usaha untuk memastikan golongan-golongan berpendapatan sederhana dan ke bawah tidak diabaikan. Institusi zakat, baitulmal, persatuan agama lain dan juga badan-badan korporat harus memberi tumpuan kepada golongan asnaf yang wujud di negara ini. Bukan masanya untuk kerajaan mendabik dada terhadap usaha kecil yang sememangnya menjadi tanggungjawab mereka.

Menjelang pembukaan semula sekolah, rungutan semakin kuat terhadap kesukaran membeli barang dan alatan persekolahan. Yuran dan perbelanjaan telah semakin tinggi dan membimbangkan. Ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan anak-anak kita mendapat pembelajaran yang sepatutnya. Benar, yuran tadika di Malaysia sangat murah. Tetapi untuk ke sekolah, anak-anak perlu diberi banyak perkara-perkara asas. Uniform, beg, alat tulis bukanlah diberi secara percuma. Isu-isu ini haruslah kita sama-sama cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikannya.

Untuk warga masyarakat majmuk pula, tahniah kerana berjaya menunjukkan contoh yang baik dalam banyak perkara. Kemeriahan sambutan pelbagai perayaan daripada Tahun Baru Cina hinggalah ke Sambutan Krismas, kita kini sudah lebih terbuka dalam meraikan kepelbagaian meliputi ruang lingkup keterbatasan agama. Pada hari ini, masyarakat yang membantu lebih ramai daripada yang membuat angkara. Keprihatinan kita ternyata semakin tinggi dan berjaya diangkat sebagai sebuah simbolik perpaduan dalam negara majmuk ini.

Tidak dilupakan juga kepada negara yang kaya dengan pelbagai kaum di seberang laut China Selatan.

Tidak disebut, sedikitpun tidak bermakna kita lupa. Siapalah Malaysia tanpa pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak yang mewarnai kecantikan negara kita. Perpaduan di Sabah dan Sarawak adalah contoh perpaduan terbaik yang perlu dipraktiskan di semua negeri lain di Malaysia. Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan perlu menjadi contoh untuk bandar lain di Malaysia untuk turut sama mempunyai simbolik perpaduan sebagaimana di Kuching.

Untuk golongan minoriti, isu tanah di Kelantan, akan sama-sama kami bersolidariti. Mungkin ada silap faham antara pengusaha dan kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, hak tetap menjadi hak dan kami akan sentiasa berdiri menyokong semua orang Asli yang menetap lama di negara ini. Orang Asli akan dilayan sebaik mungkin dan seadil yang mungkin. Tidak mungkin kami akan menganiaya saudara sendiri. Sebagai bukti lihatlah bagaimana sistem kehakiman negara ini telah membawa berita gembira kepada 78 Orang Asli yang berjaya mendapat RM37 juta wang pampasan hasil kemenangan mereka dalam kes yang baru dimenangi Disember 2016 ini. Sebagaimana Orang Asli, layanan serupa akan diberi kepada sesiapa sahaja yang menganggotai negara ini sebagai warganegara Malaysia.

Tahniah sistem kehakiman Malaysia kerana bekerja dengan cekap dan adil. Tahniah SPRM kerana semakin cekap mengejar dan mengancam semua yang mempunyai kaitan dengan rasuah. Tahniah badan beruniform, askar, polis, bomba, JPAM dan seangkatan dengannya kerana terus menerus berusaha memberikan keselesaan agar Malaysia kekal aman sebagai negara yang bersatu padu.

Menjelang tahun 2017, kita perlu sematkan lagi azam untuk mewujudkan negara yang tinggi nilai satu-padunya. Jangan dikeji wawasan 2020, kerana dalam kita merancang, mungkin akan ada sesuatu yang tidak jelas dan perlu kita kukuhkan dengan sokongan. Usaha memartabatkan semula wawasan 2020 perlu dirangka semula. 1Malaysia perlu ditiupkan semula popularitinya. Supaya negara kita mempunyai set perpaduan yang jelas untuk semua.
Tiba masanya kita manfaatkan semula rukunegara kita. Wawasan 2020 dan 1Malaysia adalah manifestasi daripada rukunegara. Kita sudah tidak perlu bertungkus lumus mencipta lebih banyak manifestasi baru. Tiba masa kita perkasakan semula rukunegara kita. Sebagaimana rukunegara mula dicipta, langkah yang drastik telah diambil menjadikan rukunegara benar-benar popular. Lihat bagaimana rukunegara dipopularkan melalui sukarelawan golongan kerajaan, cadangan menjadikannya subjek di sekolah, dan juga merupakan antara nilai tambah yang perlu ada ketika temuduga dijalankan. Langkah inilah yang harus kita kekalkan dan menjadikan rukunegara sebagai pilihan utama dalam mewujudkan masyarakat yang cintakan Malaysia dan sayangkan perpaduan.

Rukunegara sebagai identiti akan meningkatkan lagi jati diri masyarakat majmuk di negara ini.

Akhir kalam, pada lakaran akhir penghujung Disember 2016, semoga pada 2017, dunia akan menyaksikan Malaysia sebagai sebuah entiti terulung yang menjadi simbol masyarakat yang boleh hidup bersatu padu walaupun berbeza agama, bangsa, bahasa, adat dan keturunan. Selagi yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul, hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah, gunung sama didaki, lurah sama dituruni, selagi itulah kita akan terus menjadi sebuah negara yang bersatu padu sehinggalah menuju ke arah negara maju. Untuk 2016, kita telah melakukan yang terbaik untuk hampir segalanya. Oleh itu sama-samalah kita ucapkan kepada seluruhnya, Tahniah Malaysia!


*Ishak Sairozi adalah merupakan Eksekutif Yayasan 1Malaysia dan pembaca tegar AstroAwani.com

**Kenyataan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI