Berkenalan dengan mangsa melalui Facebook dengan menabur ayat 'manis' bagi mendapatkan kepercayaan sebelum mengarahkan mangsa ini menyerahkan wang.

Itu modus operandi sindiket Love Scam yang berjaya dilumpuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam serbuan di enam buah apartment di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, kira-kira jam 12 tengah malam, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah JSJK (Siber dan Multimedia), Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, dalam serbuan tersebut, seramai 25 orang warga asing termasuk enam wanita berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun telah ditahan.

"Semakan mendapati 20 daripada suspek adalah warga Nigeria, empat warga Tanzania dan seorang lagi adalah warga Thailand.

"Pelbagai barang telah dirampas antaranya komputer riba, telefon bimbit dan kad ATM," katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tumpasnya kumpulan yang telah aktif sejak tahun lalu ini, polis telah selesaikan 10 kes dengan kerugian kira-kira RM500,000.

Katanya, namun pihaknya percaya kumpulan ini terlibat lebih daripada 10 kes susulan pemeriksaan pada peranti yang dirampas mendapati terdapat seramai 1,500 mangsa terdiri daripada warga China, Jepun, Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat yang masih dalam proses perkenalan dengan suspek selain terdapat juga yang telah terpedaya.

Ahmad Noordin mendedahkan, sindiket ini menggunakan aplikasi Facebook dan menyamar sebagai lelaki yang sedang mencari pasangan hidup. Kebanyakan mangsa ini adalah terdiri daripada wanita yang sunyi dan akan berkenalan terlebih dahulu untuk menimbulkan kepercayaan.

"Setelah berkenalan, suspek akan memberitahu mangsa bahawa terdapat kiriman bungkusan berharga sebelum mengarahkan mangsa ini membayar kos pelepasan barangan tersebut yang dikatakan telah ditahan pihak berkuasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.