Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan semua pentadbir masjid dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) agar tidak menjadikan masjid atau surau sebagai platform 'bermain' politik.

Mengambil contoh isu yang berlaku di Selangor baru-baru ini, baginda dengan tegas mahu kesucian masjid dan surau di negeri ini sentiasa dipelihara.

"Semua pihak perlu sedar dan jelas, masjid adalah tempat untuk kita mengamalkan dan mendalami ajaran Islam... bukan untuk hal duniawi lain," tegas baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis berbuka puasa bersama rakyat dan pengurniaan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di perkarangan Masjid Tengku Abdullah Peramu, dekat sini.

Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 350 penerima sekitar kawasan Peramu, Kuantan.

Seramai 314 orang nelayan turut menerima Elaun Sara Hidup dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah turut menggalakkan setiap masjid di negeri Pahang menunaikan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat seperti yang dinasihatkan Mufti Negeri.

"Ibadat di bulan Ramadan perlu diperbanyakkan dalam memastikan amalan kita diterima dan memperoleh pahala berganda," titah baginda.

Sementara itu, baginda turut berharap agar semua umat Islam khususnya di negeri ini menjadikan bulan Ramadan sebagai peluang merapatkan silaturahim.

-- BERNAMA