Tidak ada 'double standard' yang diamalkan oleh bahagian penguatkuasaan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Susulan sekeping gambar menunjukkan sebuah kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) diapit di Putrajaya yang tular di media sosial semalam, pengarah bahagian penguatkuasaan PPj berkata ia adalah prosedur operasi standard (SOP) untuk membuat apitan ke atas semua kereta yang melakukan kesalahan.

Kata Muhamad Irwan Abdullah dalam satu kenyataan, ini termasuk ke atas kereta peronda PDRM.

Katanya, ia dijalankan di bawah peruntukkan undang-undang Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan yang menyebabkan halangan lalu lintas.

Penguatkuasaan ini perlu diambil bagi memastikan tiada unsur 'double standard' dalam melaksanakan penguatkuasaan, tambahnya.

Semasa kejadian di Jalan P2P berhampiran Menara Usahawan, Presint 3, pasukan penguatkuasa PPj mendapati kereta peronda PDRM berkenaan diletakkan di kawasan yang terlarang.

Pihak mereka cuba menghubungi pemandu di sekitar lokasi namun gagal dan ini menyebabkan tindakan mengapit dijalankan.