Polis Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk parti politik yang cuba mempromosikan gerakan Gelombang Kuning di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli AB Rahman, berkata pihaknya sudah menerima sembilan laporan polis sejak 10 hari lalu berhubung perkara itu.

Jelasnya, Kuala Terengganu merekodkan enam laporan manakala tiga lagi masing masing di Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Laporan itu termasuk daripada Setiausaha Sulit Sultan Terengganu yang mengesahkan pihak Istana tiada kaitan dengan gerakan berkenaan.

“Jika daripada hasil siasatan, kita kenal pasti ada antara mereka ini terlibat dan menyimpan kain rentang Gelombang Kuning ini kita akan membuat tangkapan. Kalau ada cukup bukti kita akan membuat tuduhan di bawah Akta Hasutan,” kata Rosli pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, JSJK Terengganu dan Ketua Jabatan Siasatan dan Pencegahan Trafik, JSPT di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, pihak terbabit dipercayai sengaja membuat provokasi untuk menjejaskan kententeraman awam menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri pada 8 Ogos ini.

Tegasnya, mereka yang ingkar akan berhadapan tindakan di bawah seksyen 1 C Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5 ribu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pihaknya juga sedang mengkaji serta menjalankan siasatan rapi termasuk daripada kesemua pengadu bagi menjejaki dalang di sebalik pemasangan sepanduk Gelombang Kuning di kawasan tumpuan awam di negeri itu.