Malaysia mengambil pendirian amat tegas terhadap ekstremisme dan keganasan dan enggan berkompromi atau bertolak ansur dalam perkara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata beberapa langkah telah diambil termasuk menguatkuasakan undang-undang baharu yang spesifik khusus untuk mengendalikan isu ekstremisme dan keganasan, mengupayakan pasukan keselamatan bagi membolehkan mereka menahan pihak yang mempunyai elemen ekstremis dan membawa mereka ke muka pengadilan malah sebelum mereka melakukan perbuatan keganasan.

"Sebab saya fikir bahawa dengan menunggu sehingga perbuatan keganasan dilakukan akan mengakibatkan ramai orang terbunuh dan cedera," katanya dalam wawancara eksklusif oleh Al Arabiya News Channel bersempena lawatan bersejarah Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini.

Dalam wawancara yang dikendalikan Pengurus Besar Al Arabiya, Turki Aldakhil, Najib ditanya tentang bagaimana Malaysia berjaya mengelak daripada serangan pengganas?.

"Inilah caranya bagaimana kami berjaya mengelakkan perbuatan keganasan, kecuali satu insiden tetapi ia tidak membawa makna.

"Malaysia tidak pernah menyaksikan sebarang perbuatan keganasan yang besar, ini kerana kami mengguna pakai dasar proaktif," katanya yang merujuk kepada kejadian bom tangan dilemparkan ke premis sebuah kelab malam pada Jun tahun lepas.

Najib berkata insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kematian, tetapi kecederaan ringan sahaja dan pihak berkuasa Malaysia telah menahan kira-kira 270 orang yang menyokong fahaman ISIS dan mereka terbabit tidak lagi menjadi satu ancaman.

Perdana menteri berkata dalam usaha memerangi keganasan, Malaysia turut bekerjasama rapat dengan negara-negara lain dalam memerangi keganasan.

"Wujud, misalnya, kerjasama baik antara agensi bagi pertukaran maklumat risikan dan intervensi tepat pada masanya kerana kami ialah satu pihak kepada proses damai di selatan Filipina, dengan Malaysia menerajui proses itu.

"Kami juga bekerjasama dengan rakyat dan Kerajaan Thailand untuk membawa keamanan di selatan Thailand. Ini dalam konteks serantau," katanya.

Di luar rantau pula, beliau berkata Malaysia juga bekerjasama dengan negara-negara lain kerana terdapat segelintir rakyat Malaysia didapati berada di Syria dan Iraq berjuang bersama-sama ISIS.

"Tiada negara mampu secara bersendirian menangani keganasan global kerana ia akan memerlukan kerjasama semua negara," katanya.

-- BERNAMA